BONGAWAN, 13 November 2025 – Ribuan rakyat membanjiri Tapak Tamu Berbumbung Pekan Bongawan malam tadi sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) bagi N30 Bongawan, menandakan permulaan kempen yang penuh semangat menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah.
Majlis yang bermula jam 8.00 malam itu menyaksikan kehadiran pimpinan tertinggi Perikatan Nasional PN, antaranya Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Datuk Dr Radzi Jidin, Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Azmin Ali, dan Ketua Armada BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, bersama barisan EXCO ARMADA BERSATU Malaysia serta pimpinan BERSATU Bahagian Kimanis.
Pelancaran ini turut memberi sokongan padu kepada bakal calon PN bagi kerusi DUN Bongawan, Saudara Ridzuan Firdaus, yang bakal membawa suara anak muda tempatan ke Dewan Undangan Negeri Sabah.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pimpinan muda Perikatan Nasional sebelum diteruskan dengan amanat daripada pimpinan utama parti. Suasana penuh semangat dan laungan “Era Baharu Bongawan! Perikatan Nasional! Kasi Bagus Sabah!” bergema apabila ribuan hadirin menyatakan sokongan terhadap agenda perubahan yang dibawa gabungan itu.
Kehadiran ratusan jentera dari setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) memperlihatkan kesiapsiagaan PN Bongawan dalam menghadapi cabaran kempen kali ini.
Program malam ini bukan sekadar pelancaran jentera, tetapi simbol kebangkitan rakyat Bongawan yang menuntut perubahan, keadilan dan kepimpinan baharu demi masa depan Sabah yang lebih sejahtera di bawah panji Perikatan Nasional.
