SHAH ALAM, 16 NOVEMBER 2025 – Perwakilan MIC berdiri sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79 hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, membentangkan usul mencadangkan MIC mengkaji langkah keluar BN dan memohon menyertai Perikatan Nasional PN. Usul tersebut dibahaskan oleh para perwakilan dengan pelbagai pandangan dan hujah dikemukakan.
Keputusan meluluskan usul tersebut dibuat dalam suasana perbahasan yang penuh tertib dan mencerminkan kesediaan MIC untuk meneliti semula kedudukannya dalam landskap politik semasa yang semakin berubah.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC turut memutuskan untuk menangguhkan keputusan rasmi sama ada kekal dalam BN atau keluar daripada gabungan itu, dengan mandat penuh diberikan kepada presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk menentukannya.
Langkah itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa MIC kini berada pada tahap persimpangan penting politik, dengan kemungkinan besar menyusun semula jajaran baharu bersama Perikatan Nasional demi masa depan parti dan komuniti yang diwakilinya.
