GESAAN MANSUH AUKU, PTPTN – ADAM ADLI PERLU GUNA PELUANG KUASA LAKSANA AGENDA REFORMASI PENDIDIKAN

Oleh: Megat Muhammad Faris

PORT DICKSON, 18 DIS 2025 – Gesaan daripada gerakan mahasiswa agar Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, tidak sekadar meraikan ucapan tahniah daripada institusi pengajian tinggi yang suatu ketika dahulu pernah mengambil tindakan disiplin terhadapnya ketika aktif sebagai mahasiswa, semakin lantang kedengaran. Pengiktirafan simbolik sedemikian tidak seharusnya dianggap sebagai pencapaian bermakna sekiranya ia tidak disertai dengan perubahan dasar yang konkrit dan berani dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Sebaliknya, pelantikan Adam Adli ke jawatan eksekutif kerajaan harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ruang untuk membetulkan ketempangan lama yang terus membelenggu mahasiswa, khususnya berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tekanan agar AUKU dimansuhkan atau dipinda secara menyeluruh semakin dirasai, memandangkan akta tersebut masih dilihat menyekat kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan serta penglibatan mahasiswa dalam isu-isu berkepentingan awam.

Universiti seharusnya berfungsi sebagai medan wacana terbuka dan pembinaan pemikiran kritikal, bukannya ruang yang dikawal melalui undang-undang bersifat represif. Dalam sebuah masyarakat demokratik, mahasiswa tidak boleh terus dilayan sebagai ancaman, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.

Selain AUKU, kebimbangan terhadap beban hutang pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menjadi fokus utama gesaan mahasiswa. Harapan yang mengiringi pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kini diuji apabila ribuan graduan muda terus berdepan tekanan kewangan, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan pasaran pekerjaan yang tidak menentu.

Sistem pembiayaan pendidikan sedia ada wajar dinilai semula secara menyeluruh agar lebih adil, berperikemanusiaan dan tidak menghukum generasi muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Reformasi PTPTN tidak boleh lagi bersifat kosmetik, sebaliknya memerlukan penstrukturan semula yang benar-benar meringankan beban peminjam.

Justeru, pemansuhan atau pindaan menyeluruh terhadap AUKU serta reformasi struktural PTPTN mesti dilaksanakan dengan kesungguhan politik yang jelas sekiranya kerajaan benar-benar komited terhadap agenda reformasi pendidikan. Langkah ini penting bagi memastikan hak mahasiswa dilindungi, kebebasan akademik diperkukuh dan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan dengan cabaran semasa.

Ini merupakan peluang terbaik buat Adam Adli untuk menterjemahkan idealisme perjuangan mahasiswa yang pernah beliau laungkan suatu ketika dahulu. Reformasi pendidikan tidak lagi boleh terhenti pada retorik dan simbolisme, sebaliknya mesti dizahirkan melalui tindakan dasar yang tegas, berani dan berkesan demi kepentingan generasi akan datang.