PAS MAHU TAWAN GOMBAK SETIA; ‘SAYA TAK TERANCAM, YANG PENTING PN MENANG’ – HILMAN IDHAM

GOMBAK SETIA, 13 JANUARI 2026 – Pemuda Pas Selangor menyuarakan pandangan supaya Pas bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada pilihan raya akan datang selepas Ketua ARMADA BERSATU Malaysia YB Hilman Idham meminta semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional PN baru-baru ini. 

Dalam reaksi balasnya, Muhammad Hilman menegaskan beliau tidak berasa terancam dengan pandangan Pemuda Pas Selangor dan sedia akur sekiranya parti membuat keputusan untuk meletakkan calon lain di Gombak Setia. Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar sebarang langkah dibuat secara berhemah dan konstruktif.

“Sikit pun tidak terancam. Sebab kami sama-sama PN. Yang penting PN menang. Saya bukan ‘cari makan’ dengan politik. Saya tak hadap jawatan politik. Tapi tanggungjawab sebagai ADN itu memang berat, lebih-lebih lagi sebagai ADN Pembangkang”, katanya.

Beliau turut menegaskan keutamaannya adalah kemenangan PN secara keseluruhan, sambil mengingatkan bahawa Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan adalah tidak realistik untuk satu parti bertanding di semua kawasan. Hilman Idham juga berkata beliau tidak bergantung kepada jawatan politik untuk kelangsungan hidup, namun mengakui tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri pembangkang adalah besar.

“Jika itu keputusan parti dan ada calon yang boleh menang menggantikan saya di Gombak Setia, saya pasti akur. Cuma nasihat saya, jangan gopoh. Sebagai pemuda, bekerja secara konstruktif. Jika minat di Gombak Setia, ayuh bekerja bersama saya atas nama PN”, ujar beliau.