MUHYIDDIN TERBUKA HAL PENYATUAN MELAYU, BERSATU SEDIA PERTIMBANG CADANGAN UMNO

PETALING JAYA, 19 JANUARI 2026 – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan BERSATU mengambil pendekatan terbuka terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO dan bersedia menimbangkannya selepas mendapatkan maklumat serta penjelasan yang lebih jelas mengenai perkara tersebut.

Walaupun demikian, Muhyiddin menegaskan bahawa BERSATU setakat ini tidak pernah memberikan sebarang mandat rasmi kepada mana-mana pimpinan untuk mengadakan perundingan dengan UMNO. 

Penegasan itu dibuat susulan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang menyentuh mengenai perbincangan bersama pimpinan BERSATU bagi mengusahakan penyatuan orang Melayu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendirian BERSATU dalam perkara tersebut.

Menurut Muhyiddin, isu berkenaan juga tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, sekali gus menafikan kewujudan keputusan rasmi parti berkaitan rundingan dengan UMNO.

Beliau menegaskan bahawa sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan bentuk kerjasama antara BERSATU dan UMNO perlu dibuat melalui saluran rasmi parti serta dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua pihak.

Tambah beliau, perbincangan sedemikian juga perlu dilaksanakan secara telus dengan mengambil kira pelbagai faktor penting, termasuk pandangan rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional serta kedudukan UMNO sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan ketika ini.