PANTAI BERSIH, 23 Jan 2026 — Satu perhimpunan aman telah diadakan oleh penduduk setempat bagi membantah cadangan penukaran nama Jalan Pantai Bersih kepada Jalan Tokong Naga, semalam.
Perhimpunan yang berlangsung di hadapan Blok A, Taman Tun Dr Awang itu disertai penduduk sekitar dan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, YB Azmi Alang, yang menyatakan solidariti bersama masyarakat setempat.
Azmi Alang yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tasek Gelugor menegaskan agar himpunan oleh penduduk ini dapat dilihat dan didengari oleh pihak kerajaan negeri untuk membatalkan niat pihak tertentu yang sengaja menganggu keharmonian masyarakat setempat.
Menurut penganjur, bantahan tersebut dibuat kerana cadangan penukaran nama jalan itu dilihat berpotensi menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduk, khususnya masyarakat Melayu yang merupakan majoriti penduduk di kawasan berkenaan. Mereka berpendapat langkah tersebut boleh mengganggu keharmonian dan sensitiviti komuniti setempat.
Perhimpunan berkenaan berlangsung secara aman dan teratur tanpa sebarang insiden tidak diingini.
