KUALA LUMPUR, 15 Februari 2026 – Akaun Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang disabotaj pada 14 Februari 2026 berjaya diperoleh semula selepas satu operasi dalaman digerakkan bagi menamatkan akses pentadbir yang didakwa mengkhianati amanah parti. Insiden tersebut menyaksikan 21 hantaran dimuat naik dalam tempoh hampir 15 jam, bermula jam 8.54 pagi hingga 11.44 malam.
Berdasarkan rekod ‘Page Management History Facebook’, empat individu dikenal pasti mempunyai akses penuh sebagai pentadbir ketika kejadian berlaku iaitu Ahmad Ikhwan Fadhli, Meor Naqiuddin Shamsudin, Fairus Amri Ibn Suaid dan Ahmad Syafiq Adham. Mereka mempunyai kebenaran menyeluruh termasuk pengurusan kandungan, mesej, aktiviti komuniti, iklan, analitik serta pemadaman halaman.
Ahmad Ikhwan Fadhli merupakan Pegawai Khas kepada Mantan Timbalan Presiden BERSATU merangkap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Hamzah Zainudin, manakala Meor Naqiuddin Shamsudin ialah Pegawai Khas kepada Mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Rekod turut menunjukkan beberapa pentadbir rasmi sebelum ini telah dikeluarkan daripada akses halaman sehari sebelum insiden hantaran berlaku.
Hantaran yang dimuat naik sepanjang tempoh sabotaj itu didakwa memaparkan kandungan yang menonjolkan imej secara positif terhadap mantan Timbalan Presiden dan sebaliknya terhadap Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin, sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung integriti pengurusan media rasmi parti.
Akaun rasmi parti akhirnya berjaya dikawal semula pada jam 12.41 pagi, 15 Februari 2026 selepas kesemua pentadbir yang terlibat dikeluarkan daripada sebarang akses. ARMADA BERSATU Malaysia menyatakan tindakan tegas itu membuktikan komitmen mempertahankan parti daripada unsur dalaman yang didakwa cuba menggugat kestabilan dan kepimpinan organisasi.
