WAN SAIFUL FITNAH! MUHYIDDIN TIDAK PERNAH TOLAK USAHA PENYATUAN POLITIK MELAYU – HALIM NAYAN

PARIT BUNTAR, 5 MAC 2026 – Dakwaan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penghalang kepada usaha penyatuan politik Melayu disifatkan sebagai fitnah yang berat dan tidak berasaskan fakta oleh seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Ahli MPT BERSATU, Halim Nayan berkata kenyataan yang dibuat oleh Wan Saiful Wan Jan itu tidak bertanggungjawab serta bercanggah dengan perbincangan sebenar yang berlaku dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, sebagai anggota MPT yang sentiasa menghadiri mesyuarat parti termasuk mesyuarat terakhir pada 14 Februari lalu, beliau menjadi saksi kepada perbincangan sebenar yang berlangsung dalam kepimpinan parti.

“Dalam mana-mana mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menolak usaha ke arah penyatuan politik Melayu.

“Sebaliknya beliau menegaskan bahawa usaha penyatuan itu adalah sesuatu yang baik, namun ia perlu dimaklumkan kepada parti terlebih dahulu supaya kepimpinan dapat menyusun langkah secara lebih teratur, strategik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halim berkata usaha yang didakwa sebagai sebahagian daripada gerakan penyatuan politik Melayu sepatutnya dibincangkan secara terbuka dengan kepimpinan parti terlebih dahulu, memandangkan ia melibatkan agenda besar yang menyentuh masa depan politik negara.

Beliau turut mempersoalkan tindakan mengadakan pertemuan berkaitan usaha penyatuan politik Melayu di luar negara.

“Jika benar niatnya untuk memperkukuh penyatuan politik Melayu, mengapa perlu diadakan pertemuan di luar negara?

“Perbincangan sebesar ini sepatutnya dilakukan di Tanah Melayu sendiri dan melibatkan kepimpinan parti-parti Melayu utama seperti Parti Islam Se-Malaysia, BERSATU serta pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Menurut Halim lagi, pertemuan tertutup di luar negara hanya menimbulkan pelbagai persoalan mengenai agenda sebenar di sebalik usaha yang didakwa sebagai penyatuan politik Melayu itu.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan kononnya BERSATU akan bekerjasama dengan Democratic Action Party (DAP).

“Perkara tersebut sama sekali tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat MPT BERSATU.

“Sebaliknya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama seluruh pimpinan MPT kekal komited untuk memperkukuh Perikatan Nasional serta memperkasakan BERSATU sebagai wadah perjuangan parti,” katanya.

Halim menegaskan bahawa penyatuan politik Melayu merupakan agenda besar yang memerlukan keikhlasan, disiplin organisasi serta penghormatan terhadap struktur parti.

“Tuduhan bahawa Tan Sri Muhyiddin menjadi penghalang kepada penyatuan politik Melayu bukan sahaja tidak berasas, malah dilihat sebagai cubaan menutup kelemahan dan agenda peribadi pihak tertentu,” katanya.