LANGKAH PANTAS BERSATU LANTIK KETUA BAHAGIAN STRATEGI PERKUKUH JENTERA HADAPI PRN MELAKA

MELAKA – Pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) bagi lima bahagian di Melaka dilihat sebagai langkah pantas oleh pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha menstabilkan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pengalaman luas dalam politik akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, khususnya di Parlimen Tangga Batu.

Menurut beliau, satu mesyuarat telah diadakan bagi mengagihkan tugas dengan fokus utama kepada persiapan menghadapi PRN Melaka yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.

“Kami akan mempercepatkan persiapan tertentu yang menumpukan kepada menghadapi PRN Melaka. Kepada rakyat Melaka, kami akan menawarkan pelbagai inisiatif istimewa berdasarkan pengalaman dan pemahaman kami terhadap kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya dalam sidang media pelantikan tersebut.

Beliau yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Negara turut memaklumkan bahawa Bersatu Melaka akan menampilkan barisan tokoh berkaliber, termasuk golongan muda, agamawan dan ilmuwan dalam pelbagai bidang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen parti untuk menolak sebarang bentuk pembaziran oleh kerajaan negeri sedia ada, termasuk lawatan ke luar negara yang disifatkan tidak memberi manfaat jelas kepada rakyat.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu di peringkat negeri mampu memperkukuh parti, selain percaya gabungan idea dan pengalaman akan membantu membentuk permuafakatan yang lebih mantap dalam kalangan ahli menjelang PRN Melaka.