CADANGAN MUHYIDDIN AKTIFKAN SEMULA MTEN PERLU DIBERI PERHATIAN SEGERA – HALIM NAYAN

PARIT BUNTAR, 30 Mac 2026 — Cadangan Muhyiddin Yassin supaya kerajaan mengaktifkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) perlu diberi perhatian serius susulan cabaran ekonomi semasa yang semakin dirasai rakyat, kata Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Halim Nayan.

Menurut beliau, situasi ekonomi ketika ini menunjukkan tanda-tanda membimbangkan apabila rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat, khususnya susulan kenaikan harga petrol dan diesel. Katanya, reaksi di pelbagai platform media sosial jelas memperlihatkan kekecewaan rakyat terhadap beban yang semakin bertambah.

“Kerajaan perlu lebih serius memastikan rakyat tidak terus resah dan tertekan. Kenaikan harga bahan api memberi kesan langsung kepada kos sara hidup serta keseluruhan rantaian ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan pengaktifan semula MTEN harus dilihat sebagai langkah segera bagi menyelaras tindakan strategik kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi semasa.

Halim turut menggariskan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan melalui MTEN, antaranya kawalan maksimum terhadap harga barangan asas. Beliau mencadangkan pelaksanaan mekanisme seperti “green lane logistics” bagi melancarkan pengangkutan barangan keperluan serta pemberian subsidi bersasar kepada sektor logistik untuk mengelakkan kenaikan harga mendadak.

Selain itu, beliau berkata perubahan dasar seperti pengurangan had BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter yang dijangka berkuat kuasa 1 April ini bakal memberi tekanan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah. Sehubungan itu, MTEN disaran mempertimbangkan penubuhan dana khas atau subsidi sementara bagi tempoh antara empat hingga enam bulan bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan kos bahan asas.

Dalam pada itu, sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga tidak harus dipinggirkan. Halim mencadangkan moratorium mikro secara bersasar serta pemberian geran kepada perusahaan yang terkesan bagi memastikan kelangsungan operasi mereka.

Beliau turut menekankan keperluan mewujudkan “live economic dashboard” bagi memantau data harga barangan, kos logistik dan kadar inflasi secara masa nyata. Katanya, keputusan dasar perlu dibuat berasaskan data harian yang tepat bagi mengelakkan kelewatan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi.

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, cadangan untuk mengaktifkan semula MTEN bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak,” tegasnya.

Tambah beliau, MTEN perlu berfungsi sebagai pusat penyelarasan utama ekonomi negara yang berani membuat keputusan demi kesejahteraan rakyat, bukannya sekadar memberi alasan yang akhirnya menonjolkan kelemahan pentadbiran kerajaan.