KAMI AKAN SERTAI HIMPUNAN BANTAH HARGA MINYAK AHAD INI – ARMADA BERSATU

KUALA LUMPUR, 2 April — Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU mengumumkan akan menyertai Himpunan Bantah Harga Minyak “Rakyat Menentang” susulan kenaikan mendadak harga bahan api yang didakwa membebankan rakyat dan peniaga.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, berkata pihaknya memantau rapat perkembangan kenaikan harga diesel yang kini mencecah RM6.02 seliter serta RON95 RM3.87 seliter tanpa subsidi Budi95. Menurutnya, bulan April menjadi tempoh pertama pengguna perlu menanggung kesan pengurangan subsidi secara ketara.

Beliau menjelaskan tinjauan pihaknya mendapati ramai pemilik kenderaan pacuan empat roda berasaskan diesel terpaksa mengehadkan penggunaan atau menyimpan kenderaan masing-masing kerana kos operasi yang semakin tinggi. Selain itu, perniagaan yang bergantung kepada kenderaan berat untuk logistik juga dilihat mula menaikkan harga barangan bagi menampung peningkatan kos.

“Walaupun kita memahami tekanan ekonomi global akibat konflik antarabangsa, kenaikan ini jelas memberi kesan besar kepada pengguna dan peniaga kecil serta sederhana. Ini adalah situasi luar jangka yang memerlukan intervensi pantas kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, ARMADA menggesa rakyat Malaysia yang prihatin untuk bersama-sama menghadiri himpunan bantahan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 5 April ini, jam 3 petang di hadapan SOGO Kuala Lumpur.

Menurut beliau, himpunan itu bertujuan memberi isyarat jelas kepada kerajaan agar langkah segera diambil bagi menangani beban kos sara hidup yang semakin meningkat.