KUALA LUMPUR, 4 Mei — Perbicaraan kes melibatkan Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, yang disambung petang semalam di Mahkamah Majistret Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menyaksikan saksi pendakwaan bersetuju bahawa tindakan menggesa menurunkan kerajaan bukan suatu kesalahan di sisi undang-undang.
Prosiding yang bermula sekitar jam 2 petang itu merupakan kesinambungan perbicaraan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, berkaitan dakwaan bahawa kenyataan tertuduh boleh menimbulkan kegentaran awam. Kes ini berpunca daripada satu video yang dikaitkan dengan program “Solidariti Lawan Akta Hasutan”, di mana Hilman Idham yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur politik yang kemudiannya menjadi asas pertuduhan.
Dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela Mohamad Rafiq, saksi pendakwaan membuat beberapa pengakuan yang memberi dimensi berbeza terhadap kes tersebut. Saksi bersetuju bahawa seruan untuk menurunkan atau menumbangkan kerajaan bukanlah satu tindakan jenayah, sebaliknya seperti ulasan peguam merupakan proses yang dibenarkan dalam sistem demokrasi, termasuk melalui pilihan raya atau mekanisme Parlimen sekiranya Perdana Menteri hilang sokongan majoriti.
Saksi turut bersetuju apabila disoal peguam bela berdasarkan penilaian melalui klip video berdurasi 52 saat tersebut bahawa kes berkenaan boleh dilihat mempunyai unsur bermotif politik. Video yang menjadi pertikaian itu juga diakui sebagai sebahagian daripada program yang bertujuan membantah Akta Hasutan, manakala tindakan Hilman disifatkan sebagai usaha memperjuangkan sesuatu yang dianggap ketidakadilan.
Ketika disoal lanjut, saksi mengakui bahawa tiada dokumentasi yang menunjukkan kenyataan tersebut benar-benar menimbulkan kegusaran dalam kalangan netizen. Sebaliknya, penilaian mengenai kewujudan kegentaran awam hanya bergantung kepada tafsiran peribadi saksi sendiri. Malah, saksi turut bersetuju bahawa kemarahan yang timbul dalam kalangan rakyat lebih berkait dengan tindakan kerajaan terhadap isu politik.
Saksi juga menyatakan bahawa beliau tidak dapat memastikan niat sebenar tertuduh dan menyerahkan perkara itu kepada penilaian pegawai penyiasat. Kes ini turut dilihat berkait dengan tokoh-tokoh politik utama negara, sekali gus menguatkan tanggapan bahawa ia merupakan sebahagian daripada pertelingkahan politik.
Sementara itu, peguam Afiq Nardin memaklumkan bahawa dua saksi pendakwaan telah dipanggil hari ini, iaitu pengadu dan pegawai penyiasat. Bagaimanapun, hanya pengadu selesai menjalani pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, manakala keterangan pegawai penyiasat akan disambung pada tarikh lain. Beliau menjelaskan bahawa fokus utama pembelaan adalah untuk menilai sama ada kenyataan yang dipersoalkan benar-benar menimbulkan kegentaran awam atau mendorong kepada perlakuan jenayah, dan hasil pemeriksaan balas menunjukkan bahawa seruan menurunkan kerajaan tidak melanggar undang-undang.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Jun sebagai tarikh sambung bicara bagi meneruskan prosiding kes.
