PARKIR BERTINGKAT HOSPITAL SULTANAH AMINAH MASIH BELUM MENUNJUKKAN SEBARANG PERKEMBANGAN – BERSATU JOHOR

JOHOR BAHRU, 6 MEI 2026 – Hospital Sultanah Aminah sekali lagi menjadi tumpuan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Johor semalam mengadakan sidang media di hadapan hospital berkenaan bagi membangkitkan isu kemudahan serta kebajikan pesakit yang didakwa masih belum memuaskan.

Ketua Penerangan BERSATU Johor, Syafiq Aziz berkata, antara perkara utama yang dibangkitkan adalah kelewatan pelaksanaan projek naik taraf hospital yang sebelum ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, pada 3 September 2023, kerajaan mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500 juta kepada hospital tersebut ketika berlangsungnya kempen pilihan raya kecil Parlimen Pulai. Peruntukan itu melibatkan pembangunan blok baharu serta pembinaan parkir bertingkat.

Namun, beliau mendakwa pelaksanaan projek berkenaan berjalan terlalu perlahan apabila selepas tiga tahun, fasa pertama hanya bermula pada April lalu dan itu pun terhad kepada kerja-kerja baik pulih bangunan sedia ada.

“Lebih membimbangkan, pembinaan parkir bertingkat masih belum menunjukkan sebarang perkembangan jelas di tapak, seolah-olah projek ini belum benar-benar dimulakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keadaan parkir sedia ada di hospital berkenaan berada pada tahap tidak memuaskan, termasuk kawasan parkir utama di belakang hospital yang didakwa berlubang serta tidak diturap dengan baik.

Katanya lagi, parkir sementara yang disediakan pula terletak kira-kira 500 meter dari bangunan hospital tanpa laluan pejalan kaki yang selamat, memaksa pesakit berjalan di kawasan berisiko seperti tepi longkang dan laluan semak, khususnya bagi warga emas serta golongan kurang upaya.

“Walaupun terdapat perkhidmatan bas percuma, pesakit tetap terpaksa berjalan kaki sekiranya terlepas kenderaan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, isu kepadatan parkir yang sering penuh turut menyebabkan pengguna meletakkan kenderaan secara bertindih, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan serta kesulitan kepada orang ramai.

Syafiq turut menyifatkan keadaan ini bertentangan dengan pengiktirafan yang diterima hospital berkenaan sebagai antara hospital terbaik dunia bagi tahun 2026, namun masih berdepan masalah asas melibatkan kemudahan pesakit.

Dalam masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman pemotongan bajet Kementerian Kesihatan sebanyak RM3.06 bilion yang dikhuatiri akan menjejaskan usaha menaik taraf kemudahan kesihatan awam.

Dengan jumlah kehadiran pesakit di poliklinik dianggarkan mencecah 2,000 orang sehari, beliau menegaskan isu kemudahan asas seperti parkir tidak boleh lagi dipandang ringan.

Sehubungan itu, BERSATU Johor menggesa kerajaan memberikan garis masa jelas bagi pelaksanaan projek parkir bertingkat, menyegerakan kerja naik taraf kemudahan parkir sedia ada, menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat serta memastikan pemotongan bajet tidak menjejaskan kebajikan pesakit dan petugas kesihatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *