GEORGE TOWN, 14 MEI 2026 – Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Pulau Pinang, Zulkefli Bakar mempersoalkan keperluan pembangunan kondominium berkepadatan tinggi setinggi sehingga 61 tingkat di Bukit Gelugor yang kini mendapat bantahan penduduk setempat.
Menerusi satu hantaran media sosial, beliau berkata dokumen rasmi perancangan projek itu menunjukkan pembangunan melibatkan lebih 3,300 unit kediaman dalam tiga fasa di atas kawasan seluas kira-kira 14.5 ekar.
Menurut beliau, projek pembangunan berskala besar seperti itu menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan kemampuan infrastruktur sedia ada serta kesannya terhadap kesejahteraan penduduk sekitar.
“Persoalannya, adakah pembangunan berkepadatan tinggi seperti ini benar-benar mengambil kira aspek keselesaan penduduk, kapasiti infrastruktur sedia ada, kesesakan lalu lintas, sistem saliran, kemudahan awam serta keseimbangan pembangunan mampan di kawasan tersebut?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri telah menjalankan kajian impak sosial dan infrastruktur secara menyeluruh sebelum meluluskan projek berkenaan.
Dalam pada itu, Zulkefli Bakar turut mempertikaikan alasan yang digunakan untuk tidak merujuk projek tersebut kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).
Menurutnya, hujah bahawa projek itu tidak perlu dirujuk kepada MPFN kerana ia bukan pembangunan perbandaran baharu tetapi hanya pembangunan menegak adalah tafsiran yang terlalu sempit.
“Tafsiran ini terlalu sempit dan tidak mencerminkan prinsip sebenar perancangan fizikal negara,” katanya lagi.
Isu pembangunan mega di Bukit Gelugor terus menjadi perhatian selepas penduduk setempat mengadakan beberapa siri bantahan terhadap cadangan pembinaan empat blok kondominium mewah setinggi antara 45 hingga 61 tingkat yang didakwa bakal meningkatkan kepadatan penduduk serta memberi tekanan kepada kemudahan awam dan jaringan jalan raya sedia ada.
