PAGOH, 26 Jun – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara rasmi mengumumkan 16 calon yang akan mewakili parti itu di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Majlis Pengumuman Calon BERSATU dan Ceramah Umum yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh, Taman Pagoh Jaya, malam Khamis.
Dalam ucapannya, Muhyiddin menegaskan bahawa barisan calon yang diketengahkan merupakan gabungan pemimpin berpengalaman serta wajah baharu yang diyakini mampu membawa aspirasi rakyat Johor dan menawarkan pentadbiran yang lebih berintegriti serta berwibawa.
Antara nama yang menjadi tumpuan ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, selain bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang diletakkan di kerusi DUN Senggarang.
Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kesemua calon BERSATU akan menggunakan logo Perikatan Nasional sepanjang kempen dan hari pengundian PRN Johor.
Berikut merupakan senarai penuh calon BERSATU bagi PRN Johor:
- N4 Kemelah – Uzzair Ismail
- N7 Bukit Kepong – Dr. Sahruddin Jamal
- N8 Bukit Pasir – Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin
- N11 Serom – Mahfidz Omar
- N14 Bukit Naning – Mohd Radzi Amin
- N20 Semarang – Muhammad Syafiq Abdul Aziz
- N22 Parit Raja – Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
- N24 Senggarang – Mohd Rashid Hasnon
- N25 Rengit – Syed Mohamad Syed Alwi
- N27 Layang-Layang – Abd Mutalip Abd Rahim
- N33 Tenggaroh – Muhamad Amerul Muhamad
- N34 Panti – Alias Rasman
- N36 Sedili – Rasman Ithnain
- N37 Johor Lama – Aisah Esa
- N38 Penawar – Fairulnizar Rahmat
- N45 Stulang – Lim Chin Eng @ Roland Lim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun, manakala pengundian dijadual berlangsung pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.
Pengumuman tersebut melengkapkan persiapan BERSATU menjelang bermulanya tempoh rasmi kempen PRN Johor, dengan parti itu menyifatkan barisan calon yang dipilih sebagai kombinasi pengalaman, kredibiliti dan kepimpinan generasi baharu untuk membawa suara rakyat di setiap kawasan yang ditandingi.
