LANGKAWI, 25 JUN 2025 – Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) agar mengambil tanggungjawab penuh dalam menangani isu keselamatan jalan raya selepas beberapa tragedi yang berlaku sejak sebulan lalu.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, insiden yang bermula dengan kematian anak gajah di Gerik semasa sambutan Hari Ibu, diikuti nahas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), masalah ini menunjukkan kegagalan struktur pengurusan infrastruktur negara.
“Ia bukan isu terpencil. Ia bukti kepada kelemahan sistem yang memerlukan pembaharuan. Jalan raya ialah tanggungjawab utama KKR,” katanya dalam satu kenyataan media bertarikh 24 Jun.
YB Dato’ Suhaimi Abdullah yang juga merupakan Ketua Portfolio Kerja Raya Ahli Parlimen PN turut menegur sikap kementerian yang hanya mengambil tindakan selepas kejadian berlaku, seperti mengecat semula garisan jalan dan menampal lubang. “Mengapa tindakan pencegahan tidak diutamakan? Sampai bila nyawa rakyat perlu menjadi korban?” soal beliau.
Mengulas khusus mengenai Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), beliau menuntut ketelusan mengenai jumlah peruntukan, pemilihan kontraktor dan tahap pemantauan kerja penyelenggaraan. “Apakah kerja-kerja ini dipantau? Atau dibiarkan tanpa kawalan?” katanya.
Beliau juga menyentuh keperluan menggantikan semua penghadang jalan lama lama dengan model Korea yang telah diuji sejak sembilan tahun lalu. Menurutnya, beberapa kemalangan sebelum ini menyebabkan kecederaan serius dan kematian akibat reka bentuk penghadang sedia ada.
“Pemegang konsesi lebuh raya memperoleh keuntungan berbilion ringgit setahun. Mengapa tiada langkah wajib untuk menggantikan penghadang lama dengan yang lebih selamat?” tegas beliau.
Mengakhiri kenyataan, YB Dato’ Suhaimi Abdullah menyeru KKR untuk menghentikan budaya bertindak selepas tragedi dan menggesa pembaharuan sistemik. “Cukuplah dengan sikap sambil lewa. KKR mesti bangkit dan hentikan pendekatan ‘knee-jerk’,” katanya.
