PETALING JAYA, 16 Julai – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU hari ini bersetuju untuk memberi mandat kepada Presiden Pengasas parti, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi mempelopori usaha mewujudkan persefahaman dengan parti-parti di luar blok kerajaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, MPT memaklumkan bahawa inisiatif ini bertujuan menubuhkan sebuah Barisan Pembangkang Bersatu (United Opposition Front) bagi membincangkan serta mengambil pendirian bersama dalam isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.
“Cadangan ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional yang dijadualkan hujung minggu ini,” katanya.
Selain itu, Presiden Pengasas BERSATU turut mengarahkan semua pimpinan untuk mempergiat gerak kerja di kawasan-kawasan tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah. MPT yakin bahawa rakyat Sabah menerima baik dan mendukung perjuangan BERSATU serta Perikatan Nasional.
Dalam mesyuarat sama, MPT mengesahkan bahawa Persidangan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025 akan diadakan pada 6 hingga 7 September di Shah Alam, Selangor. Sempena sambutan ulang tahun ke-9 parti itu, Majlis Makan Malam akan dianjurkan pada 7 September melibatkan lebih 2,000 tetamu dari seluruh negara.
MPT turut meluluskan pelaksanaan program Infaq BERSATU yang bertujuan mengumpulkan dana bagi aktiviti parti, dengan sumbangan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin bersama memperjuangkan agenda rakyat.
Dalam pada itu, MPT bersetuju untuk menjayakan Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai 2025 di Dataran Merdeka, bermula jam 2.00 petang.
“Kerahan akan dibuat pada semua peringkat kepimpinan dan orang awam untuk berhimpun secara aman demi perjuangan membebaskan rakyat daripada kezaliman serta menjunjung Perlembagaan dan Undang-undang Negara,” kata Azmin Ali.
