FELO DEWAN MUDA BERSATU INISIATIF ARMADA MELESTARI KEPIMPINAN NEGARA 

PARLIMEN, 23 Julai – Program Penyerahan Felo Dewan Muda BERSATU kepada Ahli-Ahli Parlimen BERSATU telah berlangsung di Parlimen Malaysia semalam dengan disempurnakan oleh Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Seramai 41 orang felo terlibat dalam program kali ini yang merupakan penganjuran kedua oleh sayap pemuda ARMADA BERSATU Malaysia. Program ‘fellowship’ ini diwujudkan sebagai platform untuk anak muda menimba ilmu dan pengalaman serta mengenal dunia politik, dalam pada masa yang sama membina jaringan kepimpinan bersama Ahli-Ahli Parlimen.

Setiap felo akan ditempatkan bersama Ahli-Ahli Parlimen dari Parti BERSATU selama 2 minggu dan akan menjalankan tugas-tugas hakiki kerja politik meliputi khidmat dan dasar bergantung kepada tugasan yang diberikan oleh Ahli Parlimen masing-masing.

Menurut Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, “Usaha pemberdayaan generasi muda melalui engagement seperti ini akan terus dilipat gandakan demi kepimpinan masa depan yang lestari.”

Menariknya, felo yang terpilih bukan hanya dalam kalangan ahli parti, menjadikan Dewan Muda BERSATU sebagai tarikan anak muda untuk mendekati BERSATU dan memahami politik nasional secara langsung.

Dalam ucapannya, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berkongsi pengalaman beliau dalam dunia politik dan berharap agar kesemua felo dapat menggunakan platform ini sebaiknya untuk mempelajari realiti perjuangan dan tanggungjawab seorang pemimpin.

Program ini akan dibuka setiap kali sesi Dewan Rakyat bersidang, memberi peluang berterusan kepada anak muda untuk menimba pengalaman berharga di peringkat Parlimen.