DANG WANGI, 29 Julai 2025 – Dua lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ditahan polis berhubung penyertaan mereka dalam perhimpunan “Turun Anwar” yang berlangsung pada 26 Julai lalu.
Ketua ARMADA BERSATU Malaysia YB Hilman Idham dalam satu hantaran di media sosial mengecam keras tindakan penahanan pihak berkuasa terhadap ahli ARMADA BERSATU di premis perniagaannya.
Ketua Penerangan Armada BERSATU, Harris Idaham Rashid mengesahkan bahawa mereka yang ditahan ialah Setiausaha Kerja Armada Perak, Furqan Hakimi serta seorang lagi ahli, Syafiq Aziz.
“Tangkapan ini berkait rapat dengan perhimpunan Turun Anwar yang diadakan pada 26 Julai 2025. Kedua-dua mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan lazimnya permohonan reman akan dibuat keesokan paginya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Harris turut memaklumkan bahawa Mahkamah Majistret pada pagi Selasa telah menolak permohonan pihak polis untuk melanjutkan reman terhadap Chegubard dan Ikhwan, yang sebelum ini turut ditahan berhubung kes sama. Kedua-dua mereka telah dibebaskan sekitar jam 5 petang.
Perkembangan ini menjadikan jumlah individu yang dikaitkan dengan siasatan himpunan tersebut semakin bertambah, sekaligus mencetuskan perhatian umum terhadap tindakan pihak berkuasa.
