Sabak Bernam, 28 Ogos – ARMADA Bersatu Sabak Bernam mengambil maklum insiden melibatkan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di daerah ini pada 26 Ogos lalu.
Dalam satu kenyataan, ARMADA Sabak Bernam menzahirkan rasa simpati kepada mangsa serta keluarganya, selain mendoakan agar pelajar berkenaan segera diberi kesembuhan selepas menerima rawatan intensif di Hospital Sungai Buloh.
ARMADA Sabak Bernam turut menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan rasmi yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pihaknya menegaskan bahawa siasatan telus dan menyeluruh amat penting bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
Selain itu, ARMADA menyeru pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam agar mempertingkatkan aspek keselamatan di kawasan asrama dan sekolah, termasuk pemantauan rapi serta langkah pencegahan supaya kejadian sama tidak berulang.
ARMADA Sabak Bernam juga menawarkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa dalam bentuk sokongan moral, kebajikan serta koordinasi dengan pihak berwajib. Pada masa sama, masyarakat diingatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan menambah tekanan kepada keluarga serta pihak sekolah.
Menurut ARMADA Sabak Bernam, insiden ini wajar menjadi pengajaran mengenai pentingnya kesejahteraan dan keselamatan pelajar. Pihaknya menegaskan komitmen untuk terus memantau perkembangan kes tersebut dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
