BERSATU SEPAKAT SOKONG KEPIMPINAN MUHYIDDIN SEBAGAI PERDANA MENTERI KE-11

SHAH ALAM, 8 Sept – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2025 yang berlangsung pada 6 dan 7 September berjaya menghimpunkan suara perwakilan daripada seluruh negara.

Seramai 20 pembahas mewakili negeri-negeri, sayap-sayap parti serta wakil mahasiswa mengambil bahagian dalam perbahasan yang menyentuh isu penting seperti kos sara hidup, perkembangan ekonomi global dan serantau, perpaduan rakyat serta landskap politik semasa.

Dalam resolusi utamanya, PAT BERSATU 2025 sebulat suara menyokong serta meluluskan Ucapan Dasar Presiden selain menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti.

Lebih signifikan, perwakilan turut sepakat mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-11, sekali gus memperkukuh kedudukan beliau sebagai peneraju utama parti dalam menghadapi cabaran politik masa depan.

Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan bahawa para perwakilan bertekad untuk memperhebat kerja-kerja lapangan serta meningkatkan keupayaan jentera pilihan raya bagi memastikan parti terus relevan dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat.