KUALA LUMPUR, 17 Sept – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Dato’ Marzuki Mohamad, menegaskan kemenangan besar PAS pada PRU-15 bukanlah kerana kekuatan parti itu semata-mata, sebaliknya hasil suntikan dana dan peralatan pilihan raya yang ditanggung sepenuhnya oleh BERSATU.
Menurut beliau, kos minimum untuk satu kerusi Parlimen adalah sekitar RM1 juta, dan jumlah itu dianggap sebagai bare minimum. Jika serius mahu menang, katanya, perbelanjaan sebenar boleh menjadi lebih tinggi bergantung kepada jumlah pengundi, keluasan kawasan dan kos logistik, terutama di Sabah dan Sarawak.
Marzuki menjelaskan, dana yang besar diperlukan untuk mencetak bendera, poster, billboard, kain rentang serta menyediakan latihan dan elaun untuk jentera pilihan raya, termasuk Polling Agent dan Counting Agent (PACA). Beliau turut menekankan keperluan menyediakan kenderaan dan elaun pengangkutan bagi memastikan pengundi keluar mengundi.
Mengulas pengalaman PRU-15, beliau berkata PAS tidak berdepan masalah kewangan kerana bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN). Semua peralatan kempen disediakan PN, manakala perbelanjaan gabungan ditanggung oleh BERSATU, termasuk sumbangan kewangan yang besar kepada PAS.
“Itulah hakikat bantuan kewangan dan peralatan yang diberikan BERSATU kepada PAS, yang saya percaya Datuk Seri Sanusi sendiri amat maklum,” tegas Marzuki.
