MAKANAN LAUT LANGKAWI SELAMAT, PENYEBARAN BERITA PALSU JEJAS PENDAPATAN NELAYAN – YB AMAR PARED

LANGKAWI – Pejabat ADUN Kuah menafikan dakwaan tular yang mengaitkan insiden bot karam baru-baru ini dengan pencemaran hasil laut Langkawi, sambil menegaskan bahawa makanan laut dari pulau pelancongan itu adalah selamat dan tidak terjejas.

Dalam satu sesi perjumpaan bersama para nelayan di Kampung Sungai Menghulu hari ini, YB Amar Pared Mahamud mendengar sendiri keresahan mereka berhubung penyebaran maklumat tidak benar yang menyebabkan pendapatan nelayan merosot ketara sejak beberapa hari lalu. Beliau turut menyerahkan sumbangan jala baharu sebagai sokongan kepada operasi harian komuniti nelayan setempat.

Menurut kenyataannya, YB Amar Pared yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Bahagian Langkawi, nelayan memaklumkan bahawa mereka berdepan penurunan pelanggan selepas timbul cerita yang mendakwa hasil laut Langkawi tercemar ekoran kejadian bot karam tersebut. Dakwaan itu bagaimanapun disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

Pejabat itu menjelaskan bahawa insiden bot karam berkenaan berlaku di luar pesisir, iaitu di perairan antarabangsa Malaysia–Thailand dan jauh daripada kawasan tangkapan nelayan tempatan. Agensi-agensi berkaitan turut mengesahkan tiada sebarang pencemaran atau risiko kesihatan kepada pengguna.

“Hasil laut Langkawi kekal segar dan berkualiti. Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih,” menurut kenyataan itu.

Pejabat ADUN Kuah juga mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu hanya akan menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan serta menimbulkan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan pengguna.