TUNTUT 40% HAK SABAH, BANTUAN TUNAI RM4,800, BANTERAS RASUAH SABAH – TAWARAN PERIKATAN NASIONAL PRN SABAH

PUTATAN, 22 Nov – Perikatan Nasional (PN) semalam melancarkan Tawaran Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 dengan fokus mengembalikan hak Sabah, memperkukuh tadbir urus, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui 12 Tunjang merangkumi 159 tawaran di bawah slogan “Kasi Bagus Sabah”. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi PN merangkap Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Pomoi.

Antara komitmen utama PN ialah memastikan pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan mengembalikan 40 peratus hasil negeri kepada Sabah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. PN turut berjanji menubuhkan Sabah Future Fund (SFF), sebuah dana kekayaan berdaulat dengan modal pemula berperingkat sebanyak RM10 bilion sebagai pelaburan jangka panjang untuk generasi masa depan negeri.

Menyentuh agenda kesejahteraan rakyat, PN berjanji menubuhkan Sabah Prihatin sebagai pusat sehenti penyelarasan bantuan serta memperkenalkan Bantuan Prihatin Rakyat Sabah (BPRS) iaitu bantuan tunai RM4,800 setahun kepada keluarga miskin tegar, dan kelompok memerlukan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin menekan.

Dalam aspek tadbir urus, PN mencadangkan undang-undang bagi memastikan semua ADUN menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti. PN juga menawarkan penstrukturan semula Kabinet Negeri serta pembentukan Panel Pemantau Khas melibatkan profesional dan wakil masyarakat bagi memastikan semua janji dilaksanakan secara telus.

Tawaran tadbir urus itu turut merangkumi pembaharuan menyeluruh sistem kewangan negeri, termasuk penubuhan Ombudsman bebas, penggubalan Enakmen Kebebasan Maklumat, pengenalan portal perbelanjaan awam, serta penambahbaikan dasar tender kerajaan bagi mengurangkan risiko salah guna kuasa dan rasuah.

Bagi menyelesaikan isu berlarutan berkaitan air, jalan dan elektrik, PN mengusulkan Pelan Reset Infrastruktur Negeri (PRIN) dengan dana permulaan RM3 bilion. Pelan ini merangkumi penstrukturan semula agensi air, pembinaan empangan dan loji rawatan air, penggunaan teknologi moden untuk rawatan air, serta penubuhan pasukan tindak balas pantas bagi kerosakan jalan kritikal.

PN turut membentangkan agenda kesihatan melalui Program Sabah Prihatin (PSP) termasuk saringan komuniti bergerak untuk penyakit tidak berjangkit, serta perkhidmatan rawatan bergerak percuma kepada pesakit terlantar dan OKU di kawasan pedalaman. Skim Insurans Percuma Orang Sabah (SIPOS) dengan perlindungan sehingga RM15,000 turut diumumkan untuk semua anak negeri.

Selain itu, PN turut menampilkan tunjang khusus untuk anak muda, wanita, pendidikan, warga emas, kelestarian alam sekitar serta keselamatan negeri menjadikan keseluruhan tawaran sebagai pakej menyeluruh untuk memacu Sabah ke arah perubahan struktural yang lebih baik.