PUTRAJAYA, 16 Disember 2025 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri bagi mengisi kekosongan serta dikatakan bagi memperkemas pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Rombakan tersebut dilihat tidak mencapai jangkaan rakyat yang menaruh harapan besar kepada Perdana Menteri bagi menggunakan peluang ini sebaiknya untuk meletakkan barisan ahli jemaah menteri yang lebih kompeten berbanding sebelum ini. Beberapa nama yang diharapkan untuk dilantik menjadi menteri tidak dilantik dan sebaliknya nama yang diharapkan rakyat untuk digugurkan juga tidak digugurkan, walaupun 2 orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri sebelum ini digugurkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fadhlina Sidek disahkan kekal sebagai Menteri Pendidikan, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kemungkinan pertukaran kepimpinan di kementerian berkenaan. Antara pelantikan baharu yang diumumkan termasuk Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta Akmal Nasir sebagai Menteri Ekonomi, selain beberapa jawatan timbalan menteri di pelbagai kementerian.
Secara keseluruhan, rombakan Kabinet ini dilihat sekadar memenuhi keperluan mengisi kekosongan disamping strategi politik PMX untuk mengekalkan kestabilan tampuk kuasa beliau bersama parti-parti gabungan lain yang dilihat semakin memberi tekanan kepadanya.
