MUHYIDDIN LETAK JAWATAN PENGERUSI PN – PEMUDA PN GESA KEPUTUSAN DIBUAT MELALUI KONSENSUS MAJLIS TERTINGGI PN

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2025 — Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa semua keputusan yang dibuat atas nama gabungan itu wajib dirujuk, dibincangkan dan diputuskan melalui Majlis Tertinggi Perikatan Nasional, selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN.

Dalam kenyataan media bersama hari ini, Pemuda PN merujuk kepada perihal peletakan jawatan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional dan menegaskan bahawa sebarang keputusan atau pendirian tidak boleh dibuat secara unilateral oleh mana-mana parti komponen.

Menurut kenyataan itu, walaupun setiap parti komponen berhak menyuarakan pandangan masing-masing, pendirian rasmi Perikatan Nasional hendaklah ditentukan secara konsensus bersama semua parti dalam gabungan tersebut.

Pemuda PN turut menggesa kepimpinan di semua peringkat agar mengamalkan politik berteraskan hikmah dan kebijaksanaan, selain memelihara adab serta etika dalam gabungan demi memastikan kestabilan dan keutuhan Perikatan Nasional.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Hilman Idham; Ketua Pemuda Nasional GERAKAN, Lee Boon Shian; serta Ketua Pemuda Kebangsaan MIPP, Justin Prabakaran, yang menekankan komitmen Pemuda PN untuk merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia.