KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 — Kebimbangan terhadap tahap tata kelola dan integriti institusi negara semakin memuncak apabila beberapa isu berprofil tinggi kebelakangan ini dilihat mempunyai benang merah yang sama dengan dakwaan kewujudan rangkaian berkepentingan atau “mafia” yang mempengaruhi sistem.
Antara yang menjadi kerisauan rakyat ialah laporan oleh Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu menangguhkan pendedahan laporan siasatan terhadap Azam Baki. Penangguhan itu dikatakan bagi memberi ruang kepada siasatan berasingan berkaitan rangkaian “mafia korporat” diselesaikan terlebih dahulu. Walaupun dakwaan ini belum disahkan secara rasmi, ia mencetuskan persoalan mengenai ketelusan dalam pengurusan kes berprofil tinggi.
Dalam masa sama, isu “mafia korporat” terus menjadi perhatian apabila timbul dakwaan bahawa terdapat pihak tertentu yang menggunakan pengaruh dan instrumen siasatan untuk menekan syarikat korporat, termasuk bagi tujuan pengambilalihan saham. Dakwaan ini turut mengaitkan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SLRM, walaupun agensi tersebut telah menafikan sekeras-kerasnya sebarang salah laku dan menyifatkan tuduhan itu sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti institusi.
Menambahkan lagi kegusaran awam, satu lagi kes di peringkat akar umbi melibatkan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan yang didakwa meminta “wang perlindungan” daripada premis perniagaan. Kes ini kini disiasat pihak polis di bawah elemen pemerasan, sekali gus menggambarkan bahawa isu penyalahgunaan kuasa bukan sahaja berlaku di peringkat atasan, malah sedang menular sehingga ke peringkat komuniti.
Rakyat sedang menzahirkan kebimbangan, walaupun ketiga-tiga isu ini berbeza dari segi konteks, ia berkongsi satu tema besar iaitu persepsi bahawa wujud amalan ala ‘Mafia’ dalam tata kelola sedang membelenggu pentadbiran negara yang membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, campur tangan berkepentingan dan ketidaktelusan dalam proses penguatkuasaan.
Sehubungan itu, pelbagai pihak menggesa agar siasatan dijalankan secara telus dan bebas, termasuk cadangan penubuhan mekanisme pemantauan bebas bagi memulihkan keyakinan rakyat. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, isu integriti dan kepercayaan terhadap institusi dilihat sebagai faktor kritikal dalam memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
