ADUN SEBERANG JAYA CADANG PENUKARAN STATUS RUMAH LEASEHOLD KE FREEHOLD

GEORGE TOWN, 12 MEI 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan mekanisme khas bagi membolehkan pemilik rumah berstatus leasehold menukar pegangan kepada freehold demi menjamin masa depan pemilik hartanah di negeri itu.

Dalam perbahasannya ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Tun Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15, beliau berkata isu rumah leasehold yang semakin menghampiri tamat tempoh pajakan kini semakin meresahkan rakyat, khususnya di kawasan Seberang Jaya.

Menurut beliau yang juga Ketua ARMADA BERSATU Negeri Pulau Pinang, walaupun Ketua Menteri sebelum ini memaklumkan pemilik rumah boleh memohon lanjutan pajakan, ramai penduduk masih dibelenggu kebimbangan mengenai status hartanah mereka, termasuk generasi anak-anak pada masa depan.

Izhar Shah berkata kebanyakan rakyat membeli rumah menggunakan hasil titik peluh sendiri dan membayar ansuran selama puluhan tahun, selain membina kehidupan serta keluarga di kediaman tersebut. Namun, mereka masih berdepan ketidakpastian apabila tempoh pajakan tanah semakin pendek.

Beliau menegaskan kerajaan negeri perlu melihat isu berkenaan daripada sudut kesejahteraan rakyat dan bukan hanya tertumpu kepada kutipan premium tanah serta hasil negeri semata-mata.

“Seberang Jaya ingin memperjuangkan cadangan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan satu mekanisme atau pakej khas bagi membolehkan pemilik rumah leasehold menukar status kepada freehold dengan pendekatan yang tersusun, adil dan praktikal,” katanya.

Beliau turut memetik pendekatan yang telah dilaksanakan di Melaka serta usaha yang sedang diberi perhatian di Wilayah Persekutuan sebagai bukti bahawa penyelesaian terhadap isu tersebut mampu dicapai sekiranya wujud kemahuan politik.

Dalam masa sama, beliau mengaitkan cadangan itu dengan semakan dan kenaikan cukai tanah yang dijangka meningkatkan hasil negeri. Menurutnya, rakyat berhak menuntut supaya sebahagian pertambahan hasil tersebut diterjemahkan kepada manfaat yang memberi jaminan masa depan lebih stabil kepada pemilik rumah.

Izhar Shah turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan kadar premium khas, pelaksanaan secara berfasa atau pemberian insentif tertentu khususnya bagi kawasan perumahan lama dan penduduk dalam kalangan golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

Beliau berkata sekiranya langkah itu tidak dimulakan dari sekarang, Pulau Pinang bakal berdepan generasi pemilik rumah yang semakin tertekan akibat ketidakpastian status hartanah mereka sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *