KUALA LUMPUR, 16 MEI 2026 – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi baharu bagi negeri-negeri di bawah gabungan itu selain mencapai persetujuan secara prinsip untuk membuka ruang kerjasama pilihan raya dengan parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama.
Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri Mokhtar serta dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi daripada parti-parti komponen PN.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, pelantikan pengerusi PN negeri-negeri diputuskan seperti berikut:
* Perlis – Shahidan Kassim
* Kedah – Muhammad Sanusi Md Nor
* Pulau Pinang – Dominic Lau Hoe Chai
* Perak – Ahmad Faizal Azumu
* Selangor – Mohamed Azmin Ali
* Negeri Sembilan – Ditangguhkan
* Melaka – Mohd Radzi Md Jidin
* Johor – Sahruddin Jamal
* Pahang – Tuan Ibrahim Tuan Man
* Terengganu – Alias Razak
* Kelantan – Ahmad Yakob
* Sabah – Aliakbar Gulasan
* Sarawak – Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
* Wilayah Persekutuan – Mohd Radzi Md Jidin
Selain itu, mesyuarat turut bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan parti-parti tertentu yang dilihat mempunyai keserasian perjuangan bersama PN.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat turut bersetuju melantik Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang baharu.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa negara yang menjadi perhatian rakyat dan berkepentingan kepada masa depan negara.
“Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan,” menurut kenyataan itu.
