PAGOH, 16 SEPTEMBER – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) bagi kemasukan ke program ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sambil menyifatkan langkah itu sebagai “hadiah paling buruk” sempena sambutan Hari Guru tahun ini.
Menurut beliau, pengiktirafan UEC yang ditadbir sepenuhnya oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan memberi implikasi besar terhadap sistem pendidikan negara kerana ia membuka satu lagi saluran kemasukan ke IPTA yang tidak dikawal selia oleh badan kerajaan.
Muhyiddin berkata, sebelum ini pengiktirafan UEC hanya terhad kepada beberapa bidang tertentu berkaitan Bahasa Cina dengan syarat calon turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau menjelaskan bahawa pelajar warganegara Malaysia sebelum ini secara umum layak memasuki IPTA melalui saluran seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi yang sukatan pelajaran serta peperiksaannya ditadbir badan kerajaan termasuk Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan universiti awam.
Katanya, sehingga kini tiada mana-mana badan kerajaan menjalankan penilaian jaminan kualiti, audit sukatan pelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran serta sistem peperiksaan dan pemarkahan UEC.
“Keadaan ini akan mewujudkan dwi-standard dalam penilaian permohonan kemasukan pelajar warganegara Malaysia ke IPTA yang melibatkan dua saluran kemasukan berbeza dengan standard yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Muhyiddin turut mendedahkan bahawa ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Dong Zong bagi membincangkan cadangan pengiktirafan UEC.
Menurut beliau, hasil kajian Kementerian Pendidikan pada masa itu mendapati sukatan pelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Justeru, beliau berkata kerajaan ketika itu mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan pelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum sebarang pengiktirafan dipertimbangkan.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu tidak dipersetujui Dong Zong dan kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak mengiktiraf sijil berkenaan.
Muhyiddin mendakwa keputusan Kerajaan Madani mengiktiraf UEC dibuat secara tergesa-gesa dan mungkin didorong pertimbangan politik bagi memastikan sokongan berterusan Democratic Action Party DAP terhadap kerajaan campuran sedia ada.
Beliau menegaskan bahawa keputusan dasar penting tidak sepatutnya dibuat atas pertimbangan politik semata-mata tanpa kajian menyeluruh terhadap kesannya kepada masa depan sistem pendidikan negara, termasuk kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
“Saya fikir pengiktirafan UEC adalah hadiah paling buruk kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Ia merupakan pengkhianatan terhadap pengorbanan guru-guru di seluruh negara yang selama ini amat komited dalam menjayakan hasrat dasar dan falsafah pendidikan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru kerajaan kembali kepada asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam mempertimbangkan pengiktirafan sijil UEC.
