PETALING JAYA, 15 MEI 2026 – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU yang dipengerusikan oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi memberi tumpuan kepada perkembangan politik semasa di Johor serta persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Azmin Ali berkata, mesyuarat yang berlangsung hampir empat jam itu turut menerima taklimat daripada kepimpinan negeri Johor berhubung situasi politik semasa.
Menurut beliau, MPT memutuskan supaya Badan Pimpinan Negeri Johor meningkatkan perbincangan dan kerjasama dengan Perikatan Nasional Johor serta pelbagai pihak lain yang bersedia membawa perubahan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri berkenaan.
MPT turut mengambil maklum perkembangan politik terkini di Negeri Sembilan dan Melaka yang dijangka berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, BERSATU akan mengadakan sesi perbincangan strategik peringkat tertinggi melibatkan kepimpinan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Jun depan bagi memperhalusi strategi baharu untuk menjana sokongan rakyat serta memperkukuh agenda kemakmuran bersama.
Dalam perkembangan lain, MPT melantik YB Dato’ Seri Azmin Ali sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya BERSATU bagi memperkukuhkan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum dan PRN akan datang.
Sementara itu, Ketua ARMADA BERSATU Malaysia YB Hilman Idham dilantik sebagai wakil BERSATU dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.
BERSATU juga akan mengoperasikan Bilik Gerakan Utama atau War Room bermula 1 Jun 2026 dengan penggunaan teknologi moden serta sistem operasi pilihan raya digital melalui platform SIBER.
Selain itu, program pengauditan dan penaziran kerja lapangan menggunakan aplikasi NADI yang diketuai Ahmad Faizal Azumu akan digerakkan secara meluas ke kawasan tumpuan BERSATU bermula 15 Mei ini.
MPT turut menyatakan sokongan terhadap usaha penerangan parti yang diterajui Tun Faisal Ismail Aziz untuk memperkukuh komunikasi strategik melalui media dan media sosial bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap jenama BERSATU yang disifatkan sebagai sederhana, progresif dan prihatin rakyat.
Dalam mesyuarat sama, MPT membincangkan usaha memperkukuh kerjasama antara parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional dan menyifatkan perpaduan yang kukuh dalam gabungan itu mampu meningkatkan keyakinan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
MPT juga meneliti laporan Jawatankuasa Petugas Khas Penyusunan Semula Bahagian dan bersetuju mengesahkan pelantikan Abdul Azim Mohd Zabidi sebagai Ketua Bahagian Lembah Pantai dan Safian Mohd Yunus sebagai Ketua Bahagian Bandar Tun Razak.
