Johor Bahru, 29 Ogos 2025 – ARMADA BERSATU Johor menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil tindakan segera dan menyeluruh berhubung beberapa kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Johor sejak kebelakangan ini.
Ketua ARMADA BERSATU Johor, Alias Rasman berkata walaupun gegaran yang dirasai berada pada skala kecil, ia tetap menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat. Menurut beliau, hakikat bahawa gegaran dapat dirasai masyarakat adalah satu isyarat jelas bahawa langkah pencegahan dan mitigasi bencana tidak boleh dipandang ringan.
“Rakyat berhak merasa selamat di bumi sendiri. Kejadian sebegini menimbulkan ketakutan, lebih-lebih lagi apabila ia berulang dalam masa yang singkat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
ARMADA Johor turut mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan, iaitu mengumumkan pelan tindakan menyeluruh menghadapi risiko bencana alam, melibatkan pakar geologi, seismologi serta agensi teknikal untuk menilai punca dan langkah mitigasi, serta memperkukuhkan kempen kesedaran awam dan sistem amaran awal agar rakyat lebih bersedia menghadapi situasi berkenaan.
“Jangan abaikan isyarat kecil daripada bumi. Kesejahteraan rakyat bergantung kepada keseimbangan dengan alam,” tegas Alias.
