“INI MASA KITA” – HILMAN SERU ANAK MUDA LEBIH AGRESIF SUARAKAN IDEA PEMBINAAN NEGARA BANGSA

PUTRAJAYA, 21 Mei — Ketua Armada BERSATU Malaysia, Hilman Idham menyeru generasi muda supaya tampil lebih agresif dalam menyuarakan idea dan pandangan berkaitan pembinaan negara bangsa demi masa depan negara.

Hilman menegaskan yang anak muda tidak boleh lagi hanya menjadi pemerhati, sebaliknya perlu berani terlibat secara aktif dalam mencorakkan hala tuju negara untuk dekad akan datang.

“Generasi muda harus tampil dan lebih agresif untuk menyatakan idea dan pandangan mereka tentang pembinaan negara bangsa. Ini masa kita, 10-20 tahun ke depan, kita yang akan rasa,” katanya menerusi hantaran media sosial selepas menghadiri program Santai Teh Tarik di Putrajaya malam tadi.

Program yang berlangsung di Q Bistro Presint 2 itu turut disertai Naib Presiden BERSATU merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.

Hilman berkata, beliau kagum dengan sambutan serta keterbukaan peserta yang hadir daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah, mahasiswa, golongan profesional dan usahawan PMKS.

Menurutnya, pelbagai persoalan besar berkaitan pembangunan negara bangsa dibincangkan secara terbuka termasuk isu pendidikan, peluang pekerjaan, ekonomi serta dasar Perikatan Nasional dalam menangani pengangguran.

Beliau turut berkongsi bagaimana seorang pelajar berusia 17 tahun membangkitkan persoalan mengenai kepentingan pendidikan dalam membina kesedaran politik, manakala seorang usahawan PMKS pula bertanya tentang usaha menjana peluang pekerjaan dan membantu golongan peniaga kecil.

Sementara itu, Radzi berkata sambutan terhadap program berkenaan sangat menggalakkan sehingga jumlah peserta terpaksa dihadkan bagi memastikan sesi berlangsung lebih dekat dan interaktif.

Menurut beliau, ruang seperti itu penting bagi memberi peluang kepada generasi muda berkongsi pandangan dan idea dalam suasana yang lebih terbuka.

“Banyak soalan, pandangan dan cadangan dikongsikan secara terbuka malam tadi termasuk soal pendidikan, peluang pekerjaan, ekonomi, bantuan kepada usahawan kecil dan sederhana, kebebasan bersuara serta cabaran yang dihadapi anak muda hari ini,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa sesi santai bersama anak muda seperti itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang susulan sambutan memberangsangkan yang diterima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *