PERMATANG PAUH, 8 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pulau Pinang menegaskan sokongan penuh terhadap Presiden Pengasas parti, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk terus menerajui kepimpinan BERSATU dan memimpin Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Pulau Pinang, YB Zulkefli Bakar berkata sokongan ini adalah selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2024 yang mengiktiraf peranan penting Muhyiddin sebagai pemimpin berwibawa, berpengalaman dan berintegriti dalam memacu hala tuju parti serta gabungan PN.
Beliau turut menegaskan fokus utama BERSATU Pulau Pinang ketika ini adalah memperkukuhkan parti secara tersusun dan berpasukan bagi menghadapi PRU16 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, di bawah kepimpinan yang telah diberikan mandat dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Mengulas usul daripada Bersatu Cawangan Port Dickson yang mencadangkan perubahan kepimpinan parti, Zulkefli menyifatkan usul daripada satu cawangan itu tidak mencerminkan pendirian majoriti ahli daripada lebih 5,000 cawangan di seluruh negara. Katanya, ahli parti yakin kejayaan hanya dapat dicapai melalui kesatuan, disiplin, dan kepimpinan yang teguh seperti yang telah ditunjukkan oleh Muhyiddin ketika negara berdepan krisis COVID-19 sebelum ini.
“Dalam situasi semasa yang mencabar dengan krisis ekonomi dan tekanan hidup rakyat, kami percaya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin amat diperlukan untuk membawa BERSATU mengharungi dan memenangi PRU16. Menjadi tanggungjawab semua ahli untuk mempertahankan kepimpinan beliau dan memperkukuh perpaduan dalam parti serta Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
