‘MENYEBABKAN KEGENTARAN AWAM’, HILMAN IDHAM AKAN DIBICARAKAN ESOK

Kuala Lumpur, 8 Oktober 2025 – Perbicaraan kes Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, akan bersambung esok di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan susulan ucapannya dalam program Solidariti Tolak Akta Hasutan baru ini.

Prosiding dijadual berlangsung pada Khamis, 9 Oktober 2025 jam 8.30 pagi, berkait pertuduhan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. Namun beliau sebelum ini dengan tegas menyatakan pendiriannya untuk menentang dakwaan tersebut. Dalam sidang mahkamah pada 20 Ogos lalu, beliau menolak untuk mengaku bersalah dan menegaskan: “Saya akan lawan dan minta dibicarakan.”

Tindakan undang-undang terhadap YB Hilman Idham turut dilihat sebagai satu bentuk intimidasi politik dan penindasan terhadap kebebasan bersuara. ARMADA BERSATU dalam beberapa kenyataan sebelum ini sentiasa menegaskan bahawa perjuangan mereka bukan sekadar mempertahankan individu, tetapi mempertahankan hak rakyat untuk bersuara dan menolak sebarang bentuk kezaliman kuasa.

Kes ini dijangka menarik perhatian umum dan komuniti politik tanah air, memandangkan pada prosiding beliau sebelum ini YB Hilman Idham disokong barisan peguam berprofil tinggi termasuk YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Muhammad Rafique Rashid Ali dan beberapa peguam muda dari sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU.